~Rumpun Tamadun Melayu~

23 April 2009

Sejarah Kemasukan Islam Ke Kepulauan Melayu (Siri 1)

Bahagian Pertama : Kepulauan Melayu sebelum Islam

Sebelum kita memperkatakan mengenai sejarah kemasukan Islam ke Kepulauan Melayu, kita haruslah terlebih dahulu mendapat sedikit gambaran mengenai kawasan ini sebelum kedatangan Islam, ianya penting sebagai pengenalan dan supaya kita dapat memahami situasi penduduk kepulauan ini apabila kita mula membincarakan tentang faktor-faktor yang membantu penyebaran Islam di Kepulauan ini.

Kepulauan Melayu adalah satu gugusan pulau yang terletak di antara dua lautan iaitu lautan Pasifik di sebelah timur dan lautan Hindi di sebelah barat. Secara lebih tepat lagi ianya terletak di Asia Tenggara dalam istilah geografi moden*. Kepulauan Melayu dalam konteks politik moden merangkumi Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Selatan Thailand(Patani) dan Selatan Filipina(Mindanao dan Sulu). Konsep Kepulauan Melayu juga disebut sebagai Nusantara** yang mana kedua-duanya membawa erti yang sama.



Tamadun yang wujud di kawasan ini tidak boleh dipandang picisan, kerana tamadun yang wujud sudah bertapak lama dan telah menempa zaman kegemilangannya seperti yang di capai oleh empayar Majapahit dan Sriwijaya. Yang menjadikan tamadun Melayu begitu istimewa adalah kerana tamadun ini merupakan adunan budaya masyarakat setempat(orang melayu) dengan budaya dua kuasa besar iaitu India dan Cina yang bertembung dan melampias ke Kepulauan Melayu.

Pembentukan tamadun ini mula menampakkan ciri-cirinya yang jelas dan menonjolkan keistimewaannya apabila agama Hindu dan Buddha dibawa masuk ke kepulauan ini. Kemuncak kegemilangan tamadun ini dibuktikan dengan kehebatan Empayar Majapahit yang berpegang kepada agama hindu, dan Empayar Sriwijaya*** yang menjadikan Buddha sebagai agama rasmi. Dua agama ini banyak mencorakkan tamadun Melayu yang sebelumnya tidak menyerlah dan tidak menampakan apa-apa ciri tamadun yang jelas.

Sebelum kewujudan tamadun melayu yang dicorak oleh agama Hindu dan Buddha, hampir-hampir tiada ketamadunan yang wujud dikawasan ini dan hampir-hampir tiada catatan sejarah mengenai masyarakat dan budaya setempat. Lebih-lebih lagi Greek kuno berpendapat bahawa kawasan diantara Parsi dan Cina seluruhnya adalah India(sumber tidak dapat dipastikan).

* Penggunaan istilah Asia Tenggara(South-east Asia) hanya muncul di awal kurun ke 20 apabila glob dan peta dunia yang hampir tepat dihasilkan. Sebelum ini istilah yang digunakan untuk merujuk kepada geografi Kepulauan Melayu adalah seperti Kepulauan Hindia Timur, Timur Jauh atau Timur Dekat (شرق أقصى – شرق أدنى ). Sebadai contoh Indonesia ketika di jajah oleh Belanda di kenali sebagai Hindia Timur Belanda(Dutch East Indies).
**Perkataan Nusantara adalah berasal dari perkataan Jawa Kuno yaitu Nusa (pulau) dan antara (lain), perkataan nusantara buat kali pertama muncul dalam sumpah yang dibuat oleh Mahapatih Gajah Mada yang merupakan perdana menteri bagi Empayar Majapahit, sumpah tersebut boleh didapati dalam catatan manuskrip Negarakertagama, sumpah yang dibuat dalam bahasa Jawa berbunyi : “Sira Gajah Mada pepatih amungkubumi tan ayun amukita palapa, sira Gajah Mada : Lamun huwus kalah nusantara ingsun amukti palapa, lamun kalah ring Gurun, ring Seram, Tanjungpura, ring Haru, ring Pahang, Dompo, ring Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, samana ingsun amukti palapa “. Sumpahan ini dinamakan Sumpah Pelapa.
*** Juga dieja sebgai Srivijaya.

Labels: , , , , , , ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home