~Rumpun Tamadun Melayu~

23 April 2009

Sejarah Kemasukan Islam Ke Kepulauan Melayu (Siri 1)

Bahagian Pertama : Kepulauan Melayu sebelum Islam

Sebelum kita memperkatakan mengenai sejarah kemasukan Islam ke Kepulauan Melayu, kita haruslah terlebih dahulu mendapat sedikit gambaran mengenai kawasan ini sebelum kedatangan Islam, ianya penting sebagai pengenalan dan supaya kita dapat memahami situasi penduduk kepulauan ini apabila kita mula membincarakan tentang faktor-faktor yang membantu penyebaran Islam di Kepulauan ini.

Kepulauan Melayu adalah satu gugusan pulau yang terletak di antara dua lautan iaitu lautan Pasifik di sebelah timur dan lautan Hindi di sebelah barat. Secara lebih tepat lagi ianya terletak di Asia Tenggara dalam istilah geografi moden*. Kepulauan Melayu dalam konteks politik moden merangkumi Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Selatan Thailand(Patani) dan Selatan Filipina(Mindanao dan Sulu). Konsep Kepulauan Melayu juga disebut sebagai Nusantara** yang mana kedua-duanya membawa erti yang sama.



Tamadun yang wujud di kawasan ini tidak boleh dipandang picisan, kerana tamadun yang wujud sudah bertapak lama dan telah menempa zaman kegemilangannya seperti yang di capai oleh empayar Majapahit dan Sriwijaya. Yang menjadikan tamadun Melayu begitu istimewa adalah kerana tamadun ini merupakan adunan budaya masyarakat setempat(orang melayu) dengan budaya dua kuasa besar iaitu India dan Cina yang bertembung dan melampias ke Kepulauan Melayu.

Pembentukan tamadun ini mula menampakkan ciri-cirinya yang jelas dan menonjolkan keistimewaannya apabila agama Hindu dan Buddha dibawa masuk ke kepulauan ini. Kemuncak kegemilangan tamadun ini dibuktikan dengan kehebatan Empayar Majapahit yang berpegang kepada agama hindu, dan Empayar Sriwijaya*** yang menjadikan Buddha sebagai agama rasmi. Dua agama ini banyak mencorakkan tamadun Melayu yang sebelumnya tidak menyerlah dan tidak menampakan apa-apa ciri tamadun yang jelas.

Sebelum kewujudan tamadun melayu yang dicorak oleh agama Hindu dan Buddha, hampir-hampir tiada ketamadunan yang wujud dikawasan ini dan hampir-hampir tiada catatan sejarah mengenai masyarakat dan budaya setempat. Lebih-lebih lagi Greek kuno berpendapat bahawa kawasan diantara Parsi dan Cina seluruhnya adalah India(sumber tidak dapat dipastikan).

* Penggunaan istilah Asia Tenggara(South-east Asia) hanya muncul di awal kurun ke 20 apabila glob dan peta dunia yang hampir tepat dihasilkan. Sebelum ini istilah yang digunakan untuk merujuk kepada geografi Kepulauan Melayu adalah seperti Kepulauan Hindia Timur, Timur Jauh atau Timur Dekat (شرق أقصى – شرق أدنى ). Sebadai contoh Indonesia ketika di jajah oleh Belanda di kenali sebagai Hindia Timur Belanda(Dutch East Indies).
**Perkataan Nusantara adalah berasal dari perkataan Jawa Kuno yaitu Nusa (pulau) dan antara (lain), perkataan nusantara buat kali pertama muncul dalam sumpah yang dibuat oleh Mahapatih Gajah Mada yang merupakan perdana menteri bagi Empayar Majapahit, sumpah tersebut boleh didapati dalam catatan manuskrip Negarakertagama, sumpah yang dibuat dalam bahasa Jawa berbunyi : “Sira Gajah Mada pepatih amungkubumi tan ayun amukita palapa, sira Gajah Mada : Lamun huwus kalah nusantara ingsun amukti palapa, lamun kalah ring Gurun, ring Seram, Tanjungpura, ring Haru, ring Pahang, Dompo, ring Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, samana ingsun amukti palapa “. Sumpahan ini dinamakan Sumpah Pelapa.
*** Juga dieja sebgai Srivijaya.

Labels: , , , , , , ,

21 April 2009

Sejarah Kemasukan Islam Ke Kepulauan Melayu (Pendahuluan)

Sejarah Islam di Nusantara

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam muhibbah dari saya kepada para sahabat dan para pembaca sekalian, terdetiknya saya untuk menulis rangkaian artikel mengenai sejarah kemasukan islam ke Nusantara kerana satu kajian yang saya lakukan untuk menyiapkan fasal kedua bahas(tesis) ijazah saya tentang sejarah kemasukan islam ke Malaysia.

Suka saya jelaskan disini bahawa kebanyakan sumber yang saya guna adalah sumber sekunder, dan bukan sumber primer. Ini adalah kerana kesukaran untuk mendapatkan sumber-sumber asal yang sepatutnya dijadikan rujukan dalam lapangan kajian ini. Kebanyakan buku yang saya guna sebagai rujukan adalah dalam bahasa arab, yang mana ianya adalah terjemahan dari buku-buku berbahasa Melayu.

Oleh yang demikian kemungkinan kesilapan semasa memetik fakta, salah paham maksud penulis dan kurang arif uslub bahasa Melayu, berkemungkinan besar mempengaruhi terjemahan kedalam bahasa Arab. Oleh yang demikian saya akan mencuba sedaya upaya saya untuk memastikan kesahihan fakta yang di bawa oleh penulis-penulis dalam sumber yang berbahasa Arab.

Antara sumber-sumber yang saya rujuk adalah :



Selain itu saya juga banyak merujuk kepada capaian-capaian dalam internet seperti wikipedia dan lain-lain .

Kajian ini akan saya bahagikan kepada tiga bahagian yaitu pertama; Kepulauan Melayu Sebelum Islam, kedua; Sejarah kemasukan Islam ke Kepulauan Melayu, ketiga; Kerajaan-kerajaan Islam di kepulauan Melayu.

Di sini saya ingin tegaskan bahawa kejian ini tidak akan terlalu terperinchi kerana kekurangan bahan rujukan dan saya sendiri bukan dari kalangan pengkaji sejarah. Cuma minat yang amat mendalam terhadap subjek sejarah telah mendorong saya melakukan kajian ini. Oleh itu kesilapan mungkin boleh berlaku dalam memahami teks dan lain-lain kesilapan.

Insya Allah saya akan berusaha untuk menghasilkan setiap minggu sekurang-kurangnya satu artikel. Ini adalah bagi membolehkan saya membuat sedikit kajian yang lebih mendalam demi kepuasan diri sendiri dan amanah ilmiah.

Bersama siri artikel ini akan ada satu siri lain mengenai tajuk yang sama tetapi dalam bahasa Arab (تاريخ دخول الإسلام الى أرخبيل الملايو)yang mana ianya merupakan bahas ijazah yang sedang sedang saya tulis, dan sebenarnya merupakan asas bagi siri berbahasa Melayu, kerana siri bahasa Melayu adalah terjemahan dari tesis tersebut cuma disana terdapat tambahan, ta’liq dan mulohazhoh bagi siri bahasa Melayu. Siri berbahasa Arab akan menyusul agak lewat sedikit kerana bahas saya masih diperingkat pembetulan oleh Musyrif saya jika semua pembetulan telah selesai insya Allah akan di posting.

Saya harap perkongsian ini sedikit sebanyak dapat menambah pengatahuan para pembaca sekalian dan merupakan titik baru bagi saya dalam lapangan kajian Sejarah khususnya sejarah Islam di Asia Tenggara. Sebarang komen,kritikan,tadakhul,ta’liq dan lain-lain sangatlah di alu-alukan.

Kepada Allah saya memohon agar dipermudahkan segala urusan hidup saya.

Labels: , , , , , , ,