~Rumpun Tamadun Melayu~

02 May 2009

Sejarah Kemasukan Islam Ke Kepulauan Melayu (Siri 2)

Asal-usul orang Melayu

Kebanyakan pengkaji berpendapat orang Melayu berasal dari tanah tinggi Yunan iaitu satu wilayah di Cina yang terletak di utara Indochina. Kaum ini telah berpindah dalam satu gerombolan yang besar(2000 tahun sebelum masihi) menyusuri sungai Mekong sehingga sampai dipesisir pantai dekat Kemboja dan dari situ bertebaran kaum ini diseluruh pelusuk kepulauan Melayu, melalui semenanjung Tanah Melayu ke Sumatra, Jawa dan lain-lain tempat. Yang menjadi faktor utama perpindahan kaum ini adalah kerana kehidupan di kawasan persisiran lebih mudah, seperti kawasan untuk bercucuk tanam yang mendatar tidak berbukit-bukau, cuaca yang lebih nyaman berbanding di tanah tinggi Yunan, lebih mudah untuk berdagang dan berniaga untuk mendapatkan keperluan asas hidup.

Asal-usul perkataan Melayu

Istilah atau perkataan melayu menurut kajian para pengkaji etimologi berasal dari perkataan Sanskrit ‘malaya’ yang bermaksud bukit atau tanah tinggi, ada juga yang berpendapat bahawa perkataan melayu berasal dari sebatang anak sungai yaitu Sungai Melayu yang terletak di hulu Sungai Batang Hari di Jambi, Sumatera, Indonesia. Di situ juga wujud sebuah kerajaan yaitu Kerajaan Melayu yang muncul sebelum atau semasa zaman Kerajaan Sriwijaya.

Penggunaan Istilah Melayu dalam konsep geografi kemudiannya semakin meluas apabila bukan sahaja merujuk kepada kerajaan Melayu yang yang terletak berhampiran Sungai Melayu di Jambi akan tetapi kawasan di pesisir selat Melaka juga mula di rujuk sebagai negeri-negeri Melayu. Kemudian istilah Melayu semakin meluas apabila penggunaan istilah Kepulauan Melayu digunakan untuk merujuk Kepulauan Nusantara.

Perkatan melayu mula muncul dalam catatan sejarah buat kali pertama kira-kira tahun 100-150 masihi oleh Ptolemy dalam karyanya Geographike Sintaxis, dalam karyanya ada menyebut istilah ‘maleu-kolon’ yang berasal dari perkataan Sankrit iaitu ‘malayakom’ atau ‘malaikurram’ *.

Kemudian muncul pula dalam kitab Purana yaitu sebuah kitab hindu purba yang ditulis sebelum zaman Gautama Buddha sehingga tahun 500 masihi, Istilah Malaya dvipa, dvipa dalam bahasa Sanskrit bermakna tanah yang di kelilingi air. Menurut maklumat-maklumat lain yang terdapat dalam kitab tersebut Malaya dvipa merujuk kepada Sumatera.

Dalam catatan perjalanan pengembara Cina istilah melayu muncul dalam beberapa versi seperti Mo-Lo-Yu dalam sebuah catatan pengembara Cina sekitar 644-645 pada zaman Dinasti Tang, pengkaji sejarah berpendapat bahawa Mo-Lo-Yu yang dimaksudkan adalah kerajaan yang terletak di Jambi atau mungkin juga merujuk kepada kerajaan Sriwijaya yang terletak di Palembang. Seorang sami yang bernama Yi Jing juga telah mencatatkan dalam pengembaraannya sebuah tempat bernama Me-La-Yu.

* malayakom’ atau ‘malaikurram’ mengikut G.E. Gerini merujuk kepada Tanjung Kuantan, sebaliknya, Roland Bradell menganggap tempat itu merujuk kepada Tanjung Penyabung, kedua-dua tempat ini terletak di semenanjung Tanah Melayu.

Labels: , , , , , , ,